Previous Exhibitions
Portraits of Bidong
BY RAZAK ABDULLAH
Galeri Chandan

Penyataan Pelukis
oleh: Razak Abdullah, Jun 2008
Karya seni adalah cerminan hati dan jiwa pelukis yang akan terus disempurnakannya sehingga ke akhir hayat. Setiap gerak dan palitan pisau paletnya menyelesaikan masalah, sama ada yang tersurat mahupun tersirat. Pelukis adalah sebahagian daripada masyarakat, justeru dia seharusnya memperkenalkan dan menyuburkan budaya masyarakatnya. Dia perlu menghidupkan masyarakat dan alam persekitarannya.
Pemandangan di dasar laut cukup indah dan memikat. Setiap objek kelihatan lebih besar dan refleksi cahaya ada di mana-mana. Di dalam air, tiada sumber cahaya yang tetap, warna kelihatan lebih cerah dan bercahaya, namun tidak menyakitkan atau menganggu pandangan mata. Kadang-kadang cahaya berkilauan seperti kilauan permata. Saya amat suka menyelam ke dasar laut, kerana dengan cara itu saya dapat merasai dan memindahkan keindahannya di
permukaan kanvas untuk dihayati dan dinikmati bersama.
Saya memilih pendekatan impresionis untuk menggambarkan keindahan di dasar laut, suatu yang tidak dilakukan pelukis lain dalam era kontemporari ini. Media dan teknik yang saya gunakan bersifat kontemporari, malahan lebih bercahaya dan bersinar dalam skala lebih besar berbanding golongan impresionis perintis. Saya menterjemahkan keindahan, meskipun di dalamnya kadang-kadang terbias rasa kesunvian dan kegelisahan.